Hasil seni dan reka bentuk adalah berbayar dan hakcipta Whitey Mommy.
Sila hubungi saya di whiteymommy@yahoo.com untuk sebarang pertanyaan dan tempahan.
Anda TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI untuk mengambil/menyalin/menyimpan
mana-mana bahagian hasil seni dan reka bentuk yang telah saya hasilkan TANPA KEBENARAN!
Showing posts with label Harta Intelek. Show all posts
Showing posts with label Harta Intelek. Show all posts

Tentang TradeMark @ Tanda Perniagaan

Assalamualaikum W.B.T
Entry kedua untuk malam ini adalah tentang perkataan TM dan juga (R) yang digunakan bagi tujuan sebagai tanda perniagaan itu adalah kita punya. Yang ini pun saya nak kongsi bagi mengelakkan salah faham dalam memahami istilah simbol ini.

Jom baca untuk tambahkan pengetahuan. Terutama bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Entry ini juga saya salin daripada Kartunis Ubi. 

Pengenalan


Tak paham atau keliru dengan ‘TRADEMARK’?
Senang aje…
TRADEMARK atau dalam Bahasa Melayunya TANDA PERNIAGAAN, adalah Simbol, Tanda dan Nama/Perkataan yg mengaitkan sesuatu produk/servis dengan pengeluar/pemiliknya.
Perkataan ‘PANTENE’ tidak boleh dianggap sebagai TRADEMARK.
Begitu juga dengan ‘HERBAL ESSENCES’, ‘CLAIROL’ dan ‘HEAD & SHOULDERS’.
Tetapi sekiranya ditulis dengan gaya tersendiri dan diletakkan pada botol syampu, kesemua perkataan di atas adalah TRADEMARK atau TANDA PERNIAGAAN yang boleh memberi keyakinan kepada pengguna bahawa mereka mendapat produk mengikut standard dan piawai yg ditetapkan oleh pengeluarnya – Procter & Gamble.


(Contoh logo atau TRADEMARK yg digunakan oleh jenama Pantene. Jenis font dan corak kerawang yg digunakan membolehkan anda mengenalinya dengan mudah.)

Undang-undang TRADEMARK diwujudkan untuk melindungi pengguna daripada kekeliruan dan juga melindungi pemilik perniagaan daripada persaingan yg tidak sihat.
Anda layak untuk mendapat perlindungan TRADEMARK sekiranya anda benar-benar telah menggunakan tanda perniagaan anda itu untuk tujuan perdagangan. Sekiranya anda tidak menjual apa-apa secara komersial, tak perlulah serabutkan kepala anda dengan cerita berkenaan undang-undang TRADEMARK ni.
Walaubagaimanapun anda boleh mendaftar TRADEMARK anda itu sekiranya anda bercadang untuk menggunakannya secara komersial dalam tempoh ENAM BULAN lagi. Seperti juga Hakcipta, TRADEMARK anda dilindungi oleh undang-undang samada anda mendaftarkannya ataupun tidak.
Makin tak paham dan keliru? Harap dapat bawak bertenang ye! ;)
Untuk memudahkan penerangan, sekali lagi kita akan gunakan komik agung “Satria Chopper” dari artikel Hakcipta @ Copyright – Pengenalan sebagai contoh.
Selepas komik tersebut berjaya disiapkan, saya dan Eddy ingin menjualnya secepat mungkin supaya kami akan menjadi terkenal seterusnya memudahkan agenda menakluk dan memperdayakan awek-awek cun di sekolah.
:twisted:
Untuk menjualnya secara komersil, kami harus mencipta logo untuk siri komik tersebut. Dan untuk melindunginya, logo tersebut perlu di ‘trademark’ kan. Dengan berbuat begini, kami dapat menghalang mana-mana mangkuk ayun yg bercadang untuk mengeluarkan produk berjenama “Satira Chopera” atau “Sateria Chocker”.
Kenapa?
Kerana tiada sesiapa pun dibenarkan menggunakan nama atau rupa bentuk yg sama atau seakan-akan sama dengan TRADEMARK kami itu sehingga boleh membuatkan pembaca dan peminat komik terkeliru menyangkakan produk baru tersebut dikeluarkan oleh kami juga.

(Contoh logo “Satria Chopper” pada komik kami)

(Contoh logo “Satira Chopera” yg bisa mengelirukan)

TRADEMARK kami juga dilindungi walaupun “Satira Chopera” itu bukan produk komik. Yg penting sekali adalah pengguna dilindungi dari tertipu dan terpedaya bahawa pencipta “Satria Chopper” yg best tu jugak turut mengeluarkan “Satira Chopera” yg ntahapahapantah tu.
Sebagai contoh, Di Malaysia ni ada satu rangkaian makanan segera yg terkenal – McDonalds. Sekiranya anda ternampak restoran bernama McDonalds yg menjual burger, anda pasti bahawa ianya dimiliki oleh orang yg sama dan menghasilkan makanan yg sama pada kualiti yg sama jugak. Sekiranya anda masuk dan membeli makanan di situ, anda pastinya 100% percaya bahawa duit anda itu betul-betul pergi kepada McDonalds serta anda betul-betul mendapat produk keluaran mereka.
Adakah adil sekiranya ada satu lagi kompeni membuka restoran makanan segera bernama McDonalds?
Tentunya tak kan…
Ini kerana mereka bakal membuat keuntungan berdasarkan nama baik dan jenama orang lain. Dalam ertikata lain, mereka ini bakal mengebas keuntungan yg sepatutnya masuk ke poket pemilik sebenar McDonalds!
Bagaimana pulak dengan restoran yg menjual laksa Penang?
Sekiranya ada restoran yg menjual laksa Penang bernama McDonalds, rasanya mungkin anda bakal terkeliru… mungkin di kepala benak anda terfikir bahawa gergasi perniagaan makanan segera yg ditaja oleh zionis ini mungkin sedang mengembangkan empayarnya dengan makanan tradisional pulak!
Disebabkan perasaan ingin menyokong makanan tradisional Malaysia (yg kononnya bakal diperdagangkan ke peringkat antarabangsa), anda pun makan di situ. Namun setelah mencuba, anda mendapati laksa McDonalds tersebut sungguh gampang sekali!
Kecewa dan marah dengan pengalaman tersebut, anda bersumpah bahawa mulai dari saat itu anda dan keturunan anda akan berhenti dari membeli nugget serta apa juga produk keluaran McDonalds!
Jadi boleh dirumuskan bahawa kekeliruan TRADEMARK, selain dari membuat pelanggan anda berbelanja ditempat pesaing, ianya juga boleh merosakkan jenama perniagaan sekiranya tidak dilindungi.
Walaubagaimanapun, ada kemungkinan anda tidak akan terpedaya walaupun dua syarikat yg berlainan menggunakan nama TRADEMARK yg sama. Syarikat kedua itu juga tidak dikira melanggar undang-undang TRADEMARK.

Mengelakkan Kekeliruan

Untuk makluman, McCurry – sebuah restoran mamak di Jalan Ipoh KL telah disaman kerana menggunakan perkataan “Mc” dan penggunaan warna yg hampir sama pada pengenalannya; yg pada McDonalds boleh menimbulkan kekeliruan, kerugian dan menjejaskan perniagaannya.


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya telah berpihak kepada McDonalds dalam kes ini. Baca cerita selanjutnya di sini.
Jadi berdasarkan kes ini, adakah perkataan “Mc” itu dimonopoli sepenuhnya oleh McDonalds?
Adakah team F1 McLaren jugak boleh disaman oleh McDonalds?
Oh… :roll:

Sebagai org yg kadang-kadang (selalu sebenarnya) malas basuh baju sendiri, saya selalu menghantar baju kotor saya ke kedai Dobi McDonalds berdekatan dengan rumah. Towkey kedai tu namanya memang McDonald – seorang lelaki berbangsa Scottish yg berkahwin dengan Cina rakyat tempatan.
Memang saya puas hati dengan kerja mereka. Saya paling suka dengan keharuman semerbak sabun dan pewangi yg digunakan mereka. Anak daranya pun lawa gak… maklumlah, mix ngan Mat Salleh! ;)
Tanda pengenalan kedainya ditulis dalam warna biru, merah dan hitam serta menggunakan font yg berbeza sekali dengan restoran McDonalds.


Rasanya takkan timbul persoalan bahawa restoran McDonald ada terlibat mengeluarkan duit membina, memberi lesen dan mengendors kedai dobi tersebut.
Sesapa pun yg pernah nampak atau menjadi pelanggan kedai dobi McDonalds pasti tahu dan takkan terkeliru bahawa ia memang ada kena mengena dengan restoran makanan segera yg memang terkenal dengan kandungan lemak tinggi tu.
Dan yg pasti, anak dara cun mix mat salleh tu juga takkan mengambil badut Ronald McDonald sebagai calon boyfriend!
Jadi penggunaan nama yg sama atau hampir sama adalah dibenarkan dengan syarat tidak menggunakan rupa bentuk yg sama atau seakan-akan sama dengan TRADEMARK jenama lain.
Anda juga dibenarkan menggunakan nama yg sama atau hampir sama asalkan produknya tidak dalam kategori yg sama (contoh: kedai dobi adalah berlainan dengan kedai makan).

Pendaftaran

Seperti Hakcipta, anda tidak memerlukan sebarang surat atau sijil untuk menegaskan pemilikan TRADEMARK anda.

Tetapi seperti juga Hakcipta, anda perlu memberitahu orang ramai bahawa tanda nama tersebut adalah hakmilik anda.

Cara yg paling mudah adalah dengan meletakkan simbol “TM” (singkatan TRADE MARK) pada nama/logo/simbol/tagline jenama anda itu tanpa perlu mendaftar dengan mana-mana pihak. Perlu diingat, untuk kaedah ini, anda perlu aktif menggunakan TRADEMARK tersebut atau produk anda mesti ada di jual di pasaran.
 

(Contoh logo KartunisUbi.com dengan simbol “TM”)

Tetapi untuk perlindungan yg SUPER HEBAT (sehingga menakutkan lanun-lanun cetak rompak terutamanya kat Petaling Street), anda amat-amat digalakkan mendaftarkannya secara rasmi dengan badan kerajaan. Banyak kebaikan dan perlindungan tambahan yg diperolehi dengan Tanda Perniagaan yg berdaftar.

Dengan bayaran sebanyak RM250 bagi setiap kategori, TRADEMARK anda boleh didaftarkan. Anda boleh mendaftar TRADEMARK anda untuk lebih dari satu kategori produk/servis. Hanya kalikan aje RM250 dengan berapa kategori yg ingin anda daftarkan.

Selepas mendaftar, anda perlu menunggu selama 6-8 bulan untuk kelulusan. Pihak Pendaftar akan mengupah peguam untuk memeriksa dan menilai samada TRADEMARK anda itu layak untuk didaftarkan. Mungkin seseorang di dalam industri anda telah mendaftarkannya terlebih dahulu. Atau mungkin juga nama/logo/simbol/tagline anda itu telah pun diletakkan di bawah PUBLIC DOMAIN

Jadi cubalah cipta sesuatu yg unik/baru dan toksahlah mengada-ngada nak mendaftar “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI” atau “MAJALAH LAWAK ANTARABANGSA”. :D
Selepas TRADEMARK anda itu dilulus dan didaftarkan, anda akan diberikan sijil pengesahan serta dibenarkan untuk menggunakan simbol “®” yg bermaksud “REGISTERED” – seterusnya menambahkan prestij untuk jenama produk/servis anda. Mungkin selepas itu anda akan dipandang lebih tinggi oleh pelanggan, pesaing dan awek sekampung. :cool: 

Pendaftaran TRADEMARK bertahan selama sepuluh tahun dan boleh diperbaharui untuk setiap sepuluh tahun. Dalam tahun keenam jangkahayatnya, anda perlu mengisi satu borang khas (lupa plak namanya…) atau perlindungan anda akan luput.
Jika anda berniat untuk memasarkan produk/servis anda ke luar negara, anda perlu mendaftarkan lagi TRADEMARK anda itu di negara tersebut. Ini boleh dilakukan dengan mengupah peguam atau ejen.
Eleh, Bisnes juta-juta sampai oversea, takkan tak mampu nak bayar lawyer kot? ;) 

Untuk pendaftaran atau pertanyaan lanjut mengenai TRADEMARK di Malaysia, silalah luangkan masa anda ke:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia,
Tingkat 32, Menara Dayabumi,
Jalan Sultan Hishamuddin,
50623 Kuala Lumpur.


Jika anda berada di luar KL, anda boleh bertanya di Pejabat Harta Intelek di negeri masing-masing (kalau ada le…). Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi nombor berikut (Akak-akak penyambut telefon sangat gembira untuk menjawab sebarang kemusykilan anda ;) ): 03-22632100, 03-2274 5113 atau 1300-88-3333

Atau anda boleh layari saja laman web http://www.mipc.gov.my >>>
Semoga artikel-artikel yg telah ditulis ini dapat memberi kefahaman kepada anda tentang Harta Intelek dan memberi semangat untuk anda menghasilkan produk yg lebih kreatif lagi… Dulu, Kini dan Selamanya! Cemerlang, Gemilang dan Terbilang gitu! (macam pernah dengar je tagline ni… err, jangan saman saya ye… saya takde wang…)


Ini adalah artikel dari Kartunis Ubi pada tahun 2009. Mungkin ada laman web dan no telefon yang telah bertukar. Anda boleh baca artikel penuh tentang ini di laman web kartunis ubi untuk memantapkan lagi pengetahuan anda .
Untuk mendapat maklumat lanjut tentang cara untuk mendapatkan dan mendaftarkan trademark anda sila ke laman web http://www.myipo.gov.my/

Semoga bermanfaat dan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. :)

Tentang Hakcipta @ Copyright

Assalamualaikum W.B.T
Sudah lama saya tak update blog. Agak sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga businesswomen ceewah! best aje bila cakap gitu kan?

Entri saya hari ini adalah tentang hakcipta. Selama ini Kak Emila Yusof sering menjadi tempat rujukan saya tentang isu hakcipta ini. Jadi saya hanya tahu sendiri tentang nya tidaklah menjelaskan secara umum.

Tetapi rasanya tidak adil kan jika saya tidak kongsi apa yang saya tahu serba sedikit tentang ini. Saya tidak tahu secara menyeluruh. Jadi tidak lah sebegitu arif untuk menerangkan dengan lebih details. Saya pernah beberapa kali google dan kebanyakan blog-blog luar negara yang selalu memberi maklumat tentang isu ini. Di Malaysia masih lagi kurang akan pendedahan tentang isu ini.

Hari ini saya google jadi saya terjumpa blog kartunis hebat iaitu Kartunis Ubi, yang pernah menyiarkan artikel di blog beliau tentang isu hakcipta ini. Jadi saya rasa isi kandungannya sangat sesuai untuk dikongsi bersama anda. Beliau merupakan salah satu kartunis yang saya gemari sewaktu zaman kecil-kecil dulu. karya beliau iaitu Aku, dia dan Volkswagen dan IN merupakan kartun yang paling saya gemari di dalam komik Ujang.

Artikel dibawah ini adalah saya salin daripada blog beliau untuk tatapan anda semua tanpa mengubah sebarang ayat. Tetapi saya hanya mengambil isi-isi penting sahaja.
Setelah lebih 10 tahun bergelumang secara profesional dalam industri kreatif ni, saya sedikit sebanyak faham tentang apa itu HAKCIPTA @ COPYRIGHT.
Untuk pengetahuan, HAKCIPTA atau dalam bahasa omputihnya COPYRIGHT adalah HAK EKSKLUSIF pengarang/pencipta bahan-bahan asal yg terdiri daripada karya Penulisan, Sastera, Muzik, Lukisan, Gambar, Grafik, Filem, Rakaman Audio/Video, Program/Software Komputer dan segala hasil kerja kreatif yg lain.

Hanya PEMILIK dan PEMEGANG HAKCIPTA mempunyai kuasa untuk menerbitkan, menayang, mengedar dan mengeluar semula hasil kerja tersebut.
Dan hanya PEMILIK dan PEMEGANG HAKCIPTA mempunyai kuasa untuk membenarkan pihak lain menggunakan keseluruhan atau sebahagian konsep daripada hasil kerja tersebut di dalam media yg sama ataupun media lain.
(Contoh sebahagian konsep – Watak Superman menjadi Clark Kent di dalam Smallville. Contoh media lain – Harry Porter daripada novel menjadi filem)
Untuk mendapat HAKCIPTA, kita tak perlu melalui proses tunjuk lawyer yg banyak level prosedur dan menulis paperwork seperti kelentong saya itu.
Untuk pengetahuan, HAKCIPTA boleh diperolehi secara AUTOMATIK dan tidak perlu didaftarkan.
Bagaimana?
Senang aje… sebaik sahaja karya anda itu siap, maka secara automatik anda memperolehi HAKCIPTA ke atas karya tersebut!
Contohnya, entri mengenai HAKCIPTA yang sedang anda baca sekarang ni…  setelah siap ditulis dan dipublishkan di blog ini, secara automatik ianya menjadi HAKCIPTA saya tanpa perlu saya mendaftarkannya dengan mana-mana pihak.
Dan secara automatik jugalah anda semua tidak boleh menerbit dan menggunakan artikel ini (atau sebahagian darinya) tanpa mendapat KEBENARAN daripada saya. Hohoho!
:cool:
Namun sekiranya anda baru bercerita dengan member kamceng, sedara mara ataupun ketua kampung mengenai IDEA anda untuk menghasilkan satu siri komik mengenai seorang remaja yg gagah, bertubuh sasa,  handal menunggang motosikal Harley Davidson terbang dan mempunyai senjata berupa sarung tangan tembaga yg bisa mengeluarkan api dari neraka, ia masih tidak boleh diHAKCIPTAkan lagi kerana ia masih sekadar satu IDEA sahaja.
Hanya idea yg telah SIAP DILAKSANAKAN SECARA FIZIKAL layak untuk mendapat hakcipta (Contoh: Novel – sudah ditaip atau dicetak)
KEASLIAN sesuatu karya juga adalah perkara yg paling penting dalam memperolehi HAKCIPTA.
Contohnya jika anda menulis satu cerita mengenai seorang remaja yg gagah, bertubuh sasa,  handal menunggang motosikal Harley Davidson terbang dan mempunyai senjata berupa sarung tangan tembaga yg bisa mengeluarkan api dari neraka… Tetapi jalan ceritanya adalah mengenai remaja tersebut (bernama Awie) yg juga seorang penyanyi rock popular mendapat tentangan keluarga aweknya (bernama Watie) untuk bercinta kerana beliau adalah seorang penyanyi – mungkin anda akan ada sedikit masalah (banyak sebenarnya..).
Jadi  pastikan karya anda itu ASLI dan ia telah SIAP DILAKSANAKAN SECARA FIZIKAL untuk memastikan anda layak mendapat hakcipta ke atas karya tersebut.
Apa kebaikan HAKCIPTA ini buat pemiliknya? Adakah dengan memegang HAKCIPTA boleh menjadi kaya?
Sekiranya karya anda itu ibarat sampah dan syok sendiri usahlah berangan untuk kaya walaupun anda memiliki sejuta HAKCIPTA sekalipun!
Sebaliknya jika karya anda itu popular dan diminati ramai, di kala itulah HAKCIPTA ini amat penting sekali!
Selain mendapat keuntungan yg masyuk dari hasil titik peluh anda itu, yg penting sekali anda dapat MENGHALANG pihak lain atau lanun cetak rompak membuat keuntungan tanpa KEBENARAN dan PERSETUJUAN anda (KEBENARAN dan PERSETUJUAN bolehlah juga dimaksudkan dengan membayar anda sejumlah wang!)
Kerana itulah juga COPYRIGHT @ HAKCIPTA ini dikategorikan bawah INTELLECTUAL PROPERTY ataupun HARTA INTELEK. Walaupun tidak berbentuk fizikal, tetapi ianya amat benilai sekali seperti harta!
Dikhabarkan di luar negara sana banyak artis atau pencipta lagu yg memajakkan lagu ciptaan mereka kepada bank untuk membuat pinjaman. Dan ianya diterima kerana pihak bank tahu akan nilai HAKCIPTA tersebut.

:cool:

Sebagai pengkarya anda mungkin memegang HAKCIPTA karya anda dan mempunyai hak untuk tidak membenarkan pihak lain menyiar atau menggunakan hasil karya tersebut.
Seperti juga hak-hak yg lain, ia ada juga batasannya…

Pada setiap karya perlulah dinyatakan dengan dengan jelas siapakah PEMILIK atau PEMEGANG HAKCIPTANYA (atau lebih jelas lagi – siapakah yg berhak mendapat keuntungan daripadanya!).

HAKCIPTA secara automatiknya adalah hakmilik mutlak pencipta atau pengkarya asal. Ia boleh dipegang dan dimiliki atas satu nama ataupun lebih (sekiranya karya itu ditulis atau dicipta lebih dari seorang).

Seperti HARTA atau PROPERTY lain, ia juga boleh dijual, disewa, diserah hakmilik dan diberi percuma kepada orang lain. Sekiranya pemilik asal meninggal dunia (secara rela ataupun tidak), HAKCIPTA tersebut akan diserahkan kepada anak ataupun waris terdekat.

Tetapi seandainya pengkarya tersebut diupah atau dibayar untuk menghasilkan sesuatu karya, maka beliau tidak lagi berhak ke atas karya ciptaannya itu…

Untuk makluman, sekiranya anda dibayar gaji oleh majikan untuk berkarya, maka HAKCIPTA karya tersebut secara automatiknya akan menjadi HAKMILIK MAJIKAN anda.

Sebagai contoh, ketika bekerja di Majalah Ujang saya telah menghasilkan komik Budak Hostel, Aku Dia & Volkswagen dan IN. Saya telah dibayar gaji (yg boleh dikira lumayan jugak) oleh bekas majikan saya untuk tidak tidur malam menghasilkan kesemua karya tersebut sebaik dan sekreatif mungkin.

Dan kerana itu kesemua karya agung yg tersangat best itu menjadi HAK MUTLAK bekas majikan saya. Mereka berhak untuk membuat apa sahaja (dan mendapat keuntungan) dengannya. Mereka boleh mengubah jalan cerita, menulis sequel, mengupah pelukis lain untuk melukis siri baru* dan menyimpannya menjadi pekasam (itulah yg berlaku sekarang) sekiranya mereka mahu.

*Untuk pengetahuan, siri IN di dalam Majalah Blues Selamanya bukanlah hasil dari air tangan saya. Sekian, harap maklum.

Untuk mengubah senario di atas daripada berlaku, anda perlu membuat satu PERJANJIAN BERTULIS dengan majikan anda. Mungkin anda boleh nyatakan dalam perjanjian tersebut bahawa  pihak mereka hanya mendapat kebenaran untuk Terbitan Pertama, Hak membuat filem sahaja ataupun apa sahaja asalkan HAKCIPTA karya tersebut adalah HAKMILIK MUTLAK anda.

Sekiranya anda seorang freelancer dan diupah untuk menghasilkan satu karya seni, pastikan dinyatakan secara terang dan jelas di dalam kontrak mengenai pemilikan HAKCIPTA ke atas karya tersebut. Sekiranya tidak, karya tersebut secara automatik menjadi hakmilik pihak yg mengupah anda.

Anda boleh menjual terus HAKCIPTA tersebut sekiranya anda mahu, tetapi pastikan ia bukan diberi atau dijual dengan harga yg murah!

Mengikut undang-undang, HAKCIPTA @ COPYRIGHT menjadi hakmilik anda sepanjang hayat (selagi anda tidak menjualnya) dan 70 tahun selepas anda meninggal dunia. Hmm… panjang sungguh masa untuk berjoli katak dan enjoy hasil dari titik peluh anda itu!
:cool: 

Selepas 70 tahun (pada asalnya 50 tahun**) anda meninggal dunia, karya anda itu secara automatik dikategorikan sebagai PUBLIC DOMAIN – iaitu ianya boleh diguna/dipakai/diperdagangkan oleh sesiapa sahaja tanpa perlu meminta keizinan dan membayar sebarang royalti.

Walaupun selepas tempoh pemilikan tamat, ada sesetengah karya itu masih memberi keuntungan yg besar kepada pemiliknya. Sebagai contoh, Mickey Mouse milik Disney sepatutnya sudah boleh dikategorikan sebagai Public Domain pada 1999. Namun atas kebijaksanaan (atau ketamakan) pemiliknya, mereka telah melobi Kongres dan akhirnya Presiden Bill Clinton telah meluluskan Sonny Bono Copyright Term Extension Act yg membolehkan pemilikan mereka ke atas karakter terkenal itu dipanjangkan tempohnya. Untuk cerita selanjutnya, sila bacanya di sini
**Hasil daripada Sonny Bono Copyright Term Extension Act, tempoh ini telah dilanjutkan dari 50 tahun menjadi 70 tahun.

Jika anda ingin membaca artikel yang lebih lengkap sila ke blog beliau. Baca dan fahamkan dengan betul supaya anda dapat menghargai hasil karya orang lain .

Inilah yang saya faham tentang hakcipta untuk hasil kerja saya selama ini. Saya bukan sehebat mana pun dalam kerja-kerja merekabentuk ini. Apa yang saya lakukan adalah untuk mencari rezeki dari rumah. Dan kepakaran yang Allah pinjaman kepada saya untuk masa ini adalah melalui rekabentuk. Alhamdulillah...

Cuma kadang kala kita rasa terkilan apabila hasil karya kita diambil sesuka hati. Sedangkan ianya telah diupah oleh pelanggan kita untuk membuatnya. Jadi saya share artikel ini bukan untuk tujuan sinis atau perli tapi sebagai salah satu perkongsian untuk kita sama-sama menambahkan ilmu dan kita lebih menghargai hasil karya orang lain. Insyaallah
 
Copyright © Whitey Mommy™